mutakhir

Hebat anak Melaka, bekal lampu LED untuk syarikat kenderaan mewah

Oleh Amir Mamat

Melaka: Beberapa syarikat pengeluar kenderaan mewah terkemuka dunia didapati memilih Melaka sebagai lokasi mendapatkan lampu kenderaan menggunakan teknologi diod pemancar cahaya (LED).

Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia berikutan pengeluar lampu LED berkenaan, Dominant Opto Technologies Sdn Bhd merekodkan permintaan tinggi daripada pengeluar kenderaan mewah terkemuka dunia untuk mendapatkan bekalan produk itu.

Berikutan itu, syarikat berkenaan dicatatkan menduduki tempat keempat di dunia sebagai pembekal lampu LED untuk kenderaan mewah.

"Jenama kenderaan terkemuka dunia iaitu BMW X Series antara kenderaan yang menggunakan teknologi LED dikeluarkan syarikat dimiliki anak jati Melaka itu.

"Berdasarkan perancangan awal tahun ini, Dominant Opto Technologies akan meneruskan pelaburan besar di Melaka membabitkan nilai RM1.3 bilion dan diharap menerusi pelaburan itu, syarikat terbabit mampu menjadi pelopor teknologi pembuatan LED di negara ini," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat itu, di Batu Berendam di sini, tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Azmi Hussein; CEO Dominant Opto Techniologies Sdn Bhd, Tay Kheng Chiong serta Pengurus Besar Invest Melaka, Ramli Mohd Ali.

Sementara itu, Kheng Chiong berkata, operasi syarikat terbabit disokong seramai 2,126 pekerja tempatan dan 404 warga negara asing dengan menyasarkan peningkatan 20 peratus hasil perniagaannya dalam sektor terbabit setiap tahun.

Beliau berkata, setakat ini seramai 120 pengkaji terbabit dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) membabitkan aspek reka bentuk serta pengubahsuaian supaya produk dihasilkan mampu bersaing di peringkat dunia.

Disiarkan pada: February 7, 2022 @ 4:44pm
d