mutakhir

Gelaran 'Budak Kangkung' beri inspirasi kepada Aryan [METROTV]

Oleh Rosman Shamsudin

Slim River: Gelaran 'Budak Kangkung' selepas gigih menanam sayur kangkung sejak setahun lalu memberi inspirasi atau semangat buat untuk terus berkebun dalam mengisi masa senggang di rumah.

Sejak awal pembabitannya, hampir semua hasil kangkung ditanam Muhammad Afiq Aryan Rosman, 7, disedekahkan kepada jiran berdekatan.

Cuti sekolah selama seminggu, baru-baru ini dimanfaatkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang itu dengan membaja dan menyiram kangkung di hadapan rumah menyebabkan kangkung ditanam hidup dengan subur.

Afiq Aryan berkata, masa cuti sekolah sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini dihabiskan dengan menjaga kangkung di hadapan rumah dan menanam kangkung di belakang rumah sahaja.

"Cuaca panas menyebabkan saya perlu menyiram tujuh kali sehari bagi memastikan kangkung ditanam mampu membuahkan hasil memuaskan.

"Sepanjang cuti kali ini, saya dan adik hanya duduk di rumah sahaja kerana bimbang penyakit Covid-19 masih belum berakhir dan masa yang ada banyak dihabiskan dengan berkebun.

" Untuk menghilangkan rasa bosan, lebih baik masa digunakan untuk berkebun dan hasilnya bukan sahaja boleh dimakan, malah dapat diagihkan kepada jiran," katanya ketika ditemui di Taman Slim Permata.

Kira-kira 30 kilogram (kg) kangkung ditanam di hadapan rumahnya dikutip lalu dibersihkan sebelum dia berjalan ke rumah jiran untuk mengagihkan semua hasil tanaman terbabit.

Disiarkan pada: February 7, 2022 @ 8:02pm
d