mutakhir

21 kematian, 2,810 kemalangan di Selangor

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Polis Selangor merekodkan 2,810 kemalangan jalan raya dan 21 kematian sepanjang Op Selamat 17 sempena sambutan Tahun Baharu Cina sejak 28 Januari hingga semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, statistik itu menunjukkan penurunan 1,374 kes berbanding Op Selamat 16 Tahun Baharu Cina 2020 iaitu 4,184 kemalangan direkodkan bagi tempoh sama.

"Daripada 2,810 kemalangan itu, 404 kemalangan berlaku di lebuh raya, 219 di jalan persekutuan, 362 kemalangan di jalan negeri, 1,629 kemalangan di jalan bandaran dan 196 kemalangan di lain-lain jalan.

"Bagi kemalangan maut pula, sebanyak 21 kes direkodkan membabitkan 19 kes penunggang motosikal, satu kes pemandu kereta dan satu kes pejalan kaki.

"Jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak satu kes berbanding 22 kes pada Op Selamat 16," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arjunaidi berkata, pihaknya turut mengeluarkan 34,329 saman membabitkan enam jenis kesalahan utama terutama melebihi had laju sebanyak 33,252 saman.

Beliau berkata, kesalahan lain membabitkan tidak patuh lampu isyarat (713), guna alat komunikasi semasa memandu (304), memotong barisan (45), lapan saman memotong garisan berkembar, tujuh saman kesalahan memandu di lorong kecemasan.

"Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor menggerakkan elemen seperti Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta rondaan cegah jenayah di peringkat balai polis secara berkala di kawasan perumahan yang ditinggalkan.

"Sepanjang tempoh 10 hari pelaksanaan Op Selamat 17 dilancarkan, tiada sebarang laporan polis diterima tentang kejadian pecah rumah membabitkan orang ramai yang mengisi 'Borang Balik Kampung' di balai polis atau melalui aplikasi "Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

"Walaupun Op Selamat 17 sudah berakhir, orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi peraturan lalu lintas ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2022 @ 10:13pm
d