mutakhir

Tiga kali berhentikan motosikal atas Jambatan Pulau Pinang

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Penunggang motosikal terpaksa memberhentikan kenderaan di bahu jalan di Jambatan Pulau Pinang, di sini, susulan hujan dan angin kencang, petang ini.

Situasi itu dapat dilihat menerusi dua video tular berdurasi 59 saat dan 31 saat yang dirakamkan pengguna jalan raya ketika melalui jambatan berkenaan.

Menerusi video itu, turut dilihat keadaan laut bergelora selain kenderaan bergerak perlahan di atas jambatan berkenaan.

Sementara itu, pengguna Facebook, Siti Safiyah turut berkongsi pengalamannya dalam kejadian itu.

"Tiga kali saya memberhentikan motosikal di atas jambatan kerana tidak mampu bergerak selepas ditolak angin kencang," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh mengesahkan kejadian menerusi video tular itu.

"Angin kencang menyukarkan penunggang motosikal dan bagi menjaga keselamatan, mereka terpaksa berhenti di bahu jalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengesahkan menerima maklumat daripada pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), terdapat hampir 20 laporan mengenai kejadian pokok tumbang dan kerosakan struktur susulan hujan dan angin kencang.

Antara lokasi terbabit ialah di Air Itam, Bayan Baru, Lintang Pangkor, Jalan zainal Abidin, Jalan Sungai dan Jalan Masjid Negeri.

Disiarkan pada: February 8, 2022 @ 9:07pm
d