mutakhir

Kerajaan Pahang kaji pelaksanaan hukuman diyat

Oleh Wartawan HM

Kuala Lumpur: Kerajaan Pahang sedang mengkaji cadangan pelaksanaan hukuman diyat dalam sistem keadilan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, diyat adalah sejenis hukuman yang sehubungan dengan qisas atau hudud, iaitu hukuman jenayah dikenakan kepada penjenayah disabitkan dalam perbicaraan.

Katanya, ia bermakna kemaafan diberikan kepada pesalah, tetapi dikenakan hukuman dengan cara diyat iaitu pembayaran dengan nilaian tertentu.

"Contohnya jenayah bunuh. Orang yang membunuh, hukum sebenarnya adalah bunuh, tetapi ada namanya diyat bermakna ia (hukuman) itu ringan sedikit dengan kemaafan diberikan oleh keluarga mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Fikrah Pahang selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan bantuan kepada masjid terjejas banjir di Bentong, hari ini.

Hadir sama, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabai dan Ketari, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkefli Ali.

Syed Ibrahim berkata, kajian itu masih di peringkat awal dan banyak perlu diteliti sebelum dibentangkan dan digubal di Dun Pahang.

"Kita bersyukur kerana kerajaan negeri sudah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggubal RUU baharu berkaitan diyat ini.

"Tapi benda ini (diyat) belum nak buat lagi, cuma kita sediakan kertas kerja, bengkelkan, nilai, kaji supaya pejabat agama, majlis agama, pejabat mufti dapat melengkapkan satu ketetapan digariskan hukum syarak berkaitan dengan diyat ini.

"Kajian perlu dilakukan untuk melihat kesinambungan undang-undang di peringkat persekutuan, sama ada boleh atau tidak nak diselaraskan," katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2022 @ 10:24pm
d