mutakhir

Penjenayah letup mesin ATM 'memang profesional'

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Polis masih memburu dua penjenayah 'profesional' yang meletupkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dengan melarikan RM260,000 di dalam kedai serbaneka di Pekan Meru, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti identiti kedua-dua suspek terbabit.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan video berkenaan, suspek dua lelaki berumur sekitar 30 an. Identiti belum dikenal pasti tetapi berdasarkan sedikit perbualan suspek, kemungkinan warga tempatan.

"Polis juga percaya kedua-dua suspek mempunyai kemahiran, memang profesional... boleh masuk, letup dan pecahkan mesin ATM.

"Nilai kerugian adalah RM260,000 dan polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan suspek dan lain-lain maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di Balai Polis Kapar, di sini, hari ini.

Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati, penjenayah terbabit tidak meninggalkan sebarang bahan letupan atau apa-apa objek untuk melakukan letupan itu.

"Polis percaya suspek meletupkan mesin ATM itu dengan menggunakan sejenis gas melalui satu saluran yang disambung terus kepada kereta dinaiki mereka dan tiada bahan letupan (ditinggalkan) di tempat kejadian.

"Siasatan awal juga mendapati, kedua-dua suspek menaiki sebuah kereta klon," katanya.

Semalam media melaporkan kejadian itu disedari pekerja kedai serbaneka berkenaan ketika mahu membuka kedai pada 8 pagi selepas mendapati pintu kaca kedai pecah selain pintu pada mesin ATM terbuka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: February 9, 2022 @ 11:44am
d