mutakhir

Kerajaan sasar tambah stesen pengecas EV, kos lebih murah

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan akan membina lebih banyak stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) berikutan ada syarikat tempatan mampu menyediakan kemudahan itu dengan kos lebih murah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kerjasama syarikat tempatan Mobility Werk Group (MW Group) menerusi syarikat MW EV Sdn Bhd dengan syarikat dari United Kingdom EZ-Charge dilihat sebagai pemangkin bagi membina lebih banyak stesen pengecas EV di seluruh negara.

Katanya, kerajaan sebelum ini menetapkan sasaran hampir 5,000 stesen pengecas EV di bina menerusi Dasar Automatif Nasional 2020 namun ia masih dalam peringkat pembangunan.

"Kita percaya ekosistem pembangunan EV pada satu ketika nanti memiliki kemudahan pengecasan di mana-mana dalam negara.

"Jadi apa yang ingin kita lakukan ialah memastikan bahawa stesen pengecas EV ini dibangunkan dengan lebih murah berbanding harga stesen pengecas EV di luar negara.

"Dengan adanya teknologi pembangunan dan pembuatan tempatan, kita percaya selain dapat membangunkan teknologi EV, kita juga boleh menyediakan bakat dalam proses awal hingga akhir bermula daripada reka bentuk sehingga ke pengkomersilan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama antara anak Syarikat MW EV Sdn Bhd iaitu MV Group Sdn Bhd dan Syarikat EZ-Charge di sini hari ini.

Disiarkan pada: February 11, 2022 @ 6:07pm
d