mutakhir

UPNM siap sedia terima pelajar Mac ini

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersiap sedia menerima kehadiran penuntut ke kampus mulai Mac ini mengikut garis panduan ditetapkan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM, Prof Datuk Dr Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman kerajaan membenarkan kemasukan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kembali ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini dengan 70 hingga 100 peratus jumlah penuntut mengikut kapasiti IPT masing-masing.

Katanya, pihak UPNM membuat persediaan rapi dan komited untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan pelajar sentiasa terpelihara.

"Dalam hal ini, keutamaan diberikan kepada kumpulan pelajar berkeperluan yang memerlukan penggunaan fasiliti makmal, klinikal, serta tugasan praktikal yang memerlukan peralatan khas.

"UPNM juga mengambil semua tindakan pengurusan risiko dan kawalan ketat terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berwajib," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hibrid berdasarkan situasi serta garis panduan yang ditetapkan KPT dan pihak berwajib.

"Pemantauan terhadap kesihatan pelajar turut dilaksanakan secara berkala sepanjang semester," katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2022 @ 1:43pm
d