mutakhir

Pintu sempadan negara dijangka dibuka dalam masa terdekat - Nancy

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) optimis Malaysia dapat membuka pintu sempadan negara dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pembukaan sempadan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada negara jiran dan negara Asia.

Menurutnya, perancangan itu dibuat berdasarkan kejayaan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi yang mencatatkan lebih 720,000 pelancong domestik dan antarabangsa sejak dilaksanakan tahun lalu dan melebihi sasaran ditetapkan.

"Dari situ, kita sudah sudah mempunyai keyakinan boleh membuka sempadan antarabangsa, namun ia perlu diteliti lagi sebab ada negara belum benarkan orang mereka keluar.

"Jadi kita perlu meneliti keperluan untuk membuka secara keseluruhan, bukan lagi gelembung.

"Kita optimistik ke arah itu kerana persiapan sudah dibuat," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bicara Negarawan: Pemikiran dan Kepimpinan Tun Hussein Onn di Memorial Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Motac, Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Bagaimanapun, Nancy berkata, pembukaan sempadan itu tidak semestinya akan dilaksanakan pada 1 Mac ini kerana perlu meneliti keadaan penularan jangkitan Covid-19 dan kemasukan ke hospital selepas pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sementara itu, ditanya mengenai kerajaan Thailand merancang membuka semula sempadan Thai-Malaysia bulan depan bagi merangsang sektor pelancongan dan ekonomi di wilayah selatan, Nancy berkata, perbincangan mengenainya memang diadakan secara berterusan.

Beliau berkata, selain Thailand, perbincangan turut diadakan bersama beberapa negara jiran termasuk Singapura dan Filipina mengenai kebenaran kemasukan rakyat Malaysia ke negara mereka dan begitu juga sebaliknya.

Disiarkan pada: February 14, 2022 @ 2:23pm
d