mutakhir

Suami simbah isteri air panas, tikam perut sendiri

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Akibat gagal mengawal kesabaran, seorang suami bertindak menyimbah air panas kepada isterinya sebelum menikam dirinya sendiri di sebuah rumah di Kampung Pondo, Pulau Gaya di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada 11.30 malam itu, pasangan yang dikatakan baru berkahwin beberapa bulan lalu dipercayai bergaduh berikutan masalah kewangan yang dihadapi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, mangsa yang berusia 40 tahun dikatakan sedang memasak air di dapur rumahnya sebelum kejadian itu.

Bagaimanapun, menurutnya, pertengkaran tiba-tiba tercetus antara mereka dan suspek yang berusia 41 tahun itu terus mengambil cerek air yang sedang dimasak dan menyimbah mangsa.

"Suspek pula terus mengambil sebilah pisau pemotong sayur dan menikam perutnya sendiri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, siasatan awal juga mendapati suspek dilaporkan sering ditendang dan ditampar oleh mangsa apabila bertengkar mengenai masalah kewangan sebelum ini.

Sementara itu, George berkata, mangsa yang melecur di bahu dan tangan kiri serta suspek masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth dan dilaporkan keduanya berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan Seksyen 309 akta yang sama.

Disiarkan pada: February 16, 2022 @ 6:08pm
d