mutakhir

'Dia nak RM50, pak cik suruh bagi RM10' - Ibu [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Yan: "Walaupun dia (anak) buat pada kami, baik buruk...dia tetap anak mak cik," kata Salmiah Man, 66, isteri kepada warga emas yang dipukul dan ditendang anak tirinya semalam.

Menurutnya, dia dan suaminya berharap anaknya itu dihukum penjara serta mendapatkan rawatan kerana perbuatannya boleh mengancam nyawa mereka.

Dalam kejadian itu, suaminya, Nordin Ahmad, 72, cedera di telinga dan tangan kiri selepas dipukul serta ditendang anak tirinya berusia 29 tahun kerana tidak memberikan wang untuk membeli dadah.

Kejadian berlaku pada 8.30 pagi di pekarangan rumah mereka di Kampung Ruat di sini, sebelum rakaman video kejadian itu tular di Facebook (FB).

Berikutan itu, suspek yang memiliki kad orang kurang upaya (OKU) pesakit mental ditahan polis pada 6.45 petang di Kampung Lubuk Iboi di sini selepas bapa tirinya membuat laporan polis.

Salmiah ketika ditemui hari ini berkata, anak kedua dari tiga beradik itu sudah lama terbabit dalam penagihan dadah kerana terpengaruh dengan rakannya.

Menurutnya, sebelum ini mereka pernah melaporkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengenai pembabitan anaknya itu kerana bimbangkan keselamatan mereka kerana anak lelakinya kerap mengamuk jika tidak diberi wang untuk membeli dadah.

"Dia selalu balik sini... mak cik bagi dia makan dan selalu dia mintak duit. Kadang-kadang sampai RM50 tetapi semalam pak cik minta bagi RM10 sahaja sebab nak berjimat menyebabkannya terus berang dan mengamuk.

"Dia masuk ke dalam rumah untuk ambil surat OKU mental dia sebelum keluar dan tendang pak cik dari belakang," katanya.

Nordin pula berharap pihak berkuasa dapat menahan anak tirinya lebih lama kerana bimbang lelaki itu akan pulang membalas dendam.

Katanya, dengan kejadian yang membabitkan penagih dadah yang berlaku sejak akhir-akhir ini sehingga sanggup membunuh ibu bapa sendiri menyebabkan mereka bimbang kejadian itu boleh berlaku sekiranya anak tirinya dibebaskan.

"Sampai sekarang saya masih trauma, takut dia datang sini balas dendam," katanya yang turut mengalami kecederaan di rusuk kanan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, suspek kini direman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya juga mendapati dia negatif dadah.

"Polis juga sudah memanggil tiga individu yang terbabit memukul suspek dalam video yang turut tular semalam dan seorang daripadanya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan pada malam tadi, manakala dua lagi datang pagi hari ini untuk memberi keterangan.

"Kita minta orang ramai jangan ambil tindakan sendiri (memukul) dan sebaiknya terus memaklumkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan," katanya.

Shahnaz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 2012.

Berita berkaitan

Kerana tidak diberi wang, lelaki tumbuk, tendang bapa tiri

Disiarkan pada: February 16, 2022 @ 9:17pm
d