mutakhir

Pemandu pitam selepas ziarah kubur suaminya

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Kejadian sebuah kenderaan Perodua Myvi merempuh masuk ke dalam kawasan Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang di sini, pagi hari ini berlaku kerana pemandunya pitam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pemandunya yang juga seorang wanita dikatakan mengalami hipoglisemia (glukosa darah rendah) ketika mahu memandu keluar dari kawasan parkir selepas menziarahi kubur suaminya.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pemandu berusia 60 tahun itu tidak mengalami kecederaan dan berlaku sedikit kerosakan pada tapak kubur.

"Tular beberapa gambar di laman sosial memaparkan kejadian sebuah kenderaan melanggar kawasan tanah perkuburan Islam di Senawang," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutya, wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian itu dan dia sudah menerima rawatan sewajarnya berkaitan hipoglisemia dialaminya.

Katanya, anak kepada wanita sudah hadir membuat laporan dan memaklumkan akan bertanggungjawab untuk baik pulih tapak perkuburan yang mengalami kerosakan.

Berita berkaitan

Myvi terbabas langgar kubur

Disiarkan pada: February 17, 2022 @ 7:48pm
d