mutakhir

Wanita ditahan selepas larikan kereta, langgar kenderaan lain

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Wanita ditahan polis selepas melarikan sebuah kereta sebelum terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Setapak Central di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, wanita berusia 38 tahun itu pada mulanya ditahan oleh orang awam dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita itu melarikan sebuah Honda City di hadapan Kolej Vokasional Setapak di Jalan Genting Klang di sini, pada 2.30 petang.

"Dalam kejadian itu, pemilik kereta berkenaan bersama isteri keluar dari kereta mereka tanpa mematikan enjin sebelum wanita terbabit melarikannya menghala ke pusat bandar.

"Pemilik kereta kemudiannya meminjam motosikal pengawal keselamatan di situ, untuk membuat laporan polis dan cuba mencari keretanya.

"Setibanya di persimpangan lampu isyarat di hadapan Setapak Central, mangsa dapati kereta miliknya itu terbabit dalam kemalangan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mangsa dapati suspek yang melarikan keretanya juga sudah ditahan oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak polis.

Katanya, hasil semakan polis mendapati suspek berkenaan mempunyai 14 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan dan Seksyen 279 kanun yang sama kerana memandu dengan gopoh di jalan awam," katanya.

Hari ini, satu video berdurasi satu 1 minit 31 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial.

Dalam video itu, orang ramai terpaksa memecahkan cermin kereta selepas pemandunya cuba merempuh beberapa kenderaan lain di persimpangan terbabit.

Sementara itu, Ashari berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan video itu yang boleh mendatangkan kegusaran awam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2022 @ 11:17pm
d