mutakhir

Bantu perokok beralih ke produk kurang risiko

ASAP rokok mengandungi bahan kimia yang memudaratkan dan menjadi antara penyebab utama kematian jutaan penduduk dunia setiap tahun. 

Pakar Kesihatan Awam dalam Pengurangan Kemudaratan di United Kingdom (UK), Clive Bates, berkata terdapat beberapa kaedah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan jumlah perokok dalam negara. 

Pertama, dengan menggesa perokok menjauhkan diri daripada semua produk mengandungi nikotin sepenuhnya atau menggalakkan pengguna beralih kepada produk nikotin yang lebih rendah risiko. 

Bagaimanapun, menghalang pengambilan nikotin dalam kalangan generasi muda adalah pilihan yang lebih tepat.

Namun, Bates mengakui bahawa sukar untuk seseorang perokok dewasa atau perokok tegar berhenti merokok sepenuhnya. 

Berdasarkan beberapa kajian, daripada ribuan perokok yang mencuba untuk berhenti merokok, hanya sebahagian kecil sahaja yang berjaya. 

Justeru, Bates berpendapat bahawa kaedah paling berkesan dan pantas adalah dengan menggalakkan perokok bertukar kepada alternatif yang mampu mengurangkan beban kesihatan mereka.

"Bagi mengelakkan perokok terus terjebak dengan merokok, kita perlu mengubah perkara atau kelakuan mereka," katanya.

Sementara itu, Bates turut menegaskan bahawa kesan kemudaratan rokok sudah diketahui umum dan seharusnya diberi perhatian oleh kerajaan.

Tambah beliau, terdapat bukti menunjukkan pengambilan nikotin tanpa pembakaran tidak mendatangkan kemudaratan seperti rokok.

"Strategi terbaik untuk mengurangkan bilangan perokok adalah dengan membenarkan produk nikotin yang kurang mudarat menggantikan rokok. 

"Ia akan memberi kesan paling besar dan pantas kepada kesihatan awam serta secara tidak langsung akan membantutkan permintaan rokok," katanya.

Bates yang juga bekas Pengarah Tindakan Mengenai Rokok dan Kesihatan UK, turut bersetuju bahawa undang-undang dan kawal selia harus dilaksanakan secara berbeza daripada rokok iaitu dengan mengambil kira tahap kemudaratannya.

"Sebagai contoh, cukai yang tinggi perlu dikenakan ke atas rokok manakala cukai lebih rendah atau tidak mengenakan cukai bagi produk bebas asap. 

"Label pada kotak rokok yang disyaratkan mempamerkan gambar risiko merokok diteruskan dan bagi pembungkusan produk tanpa asap seperti vape pula seharusnya dipaparkan imej yang mendorong mereka bertukar kepada alternatif kurang mudarat.

"Ia bagi menambah keyakinan perokok untuk berhenti merokok seterusnya memilih alternatif gantian nikotin dan tidak meneruskan tabiat merokok rokok tembakau," katanya.

Bates ketika ditemubual turut menyatakan keyakinan bahawa usaha ini dapat dilaksanakan dengan segera, tetapi kerajaan perlu mempunyai matlamat dan pemahaman yang baik mengenai kaedah paling berkesan supaya dapat mengelakkan pendekatan bertentangan dengan bukti sains yang hanya akan membawa kesan lebih buruk.

Dalam pada itu, Bates turut memberi amaran bahawa Malaysia bakal berdepan dengan masalah yang lebih besar sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menghalang penjualan rokok dan juga vape kepada generasi baru seperti dicadangkan Menteri Kesihatan baru-baru ini.

"Malaysia bakal melihat pasaran gelap yang semakin besar, lebih ramai terjerumus dengan jenayah seludup serta lebih banyak penyelewengan, rasuah serta kadar penurunan perokok terbantut.

"Paling membimbangkan adalah pembabitan golongan belia dalam penyeludupan. Mereka bukan sahaja menjadi perokok tetapi menyertai komuniti penyeludup sebagai penjenayah dalam kegiatan haram," katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2022 @ 8:48am
d