mutakhir

Pelan pastikan telur cukup pada Ramadan, Aidilfitri [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kerajaan mempersiapkan beberapa pelan intervensi bagi memastikan bekalan telur ayam cukup pada Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, rancangan bersasar itu dilaksana kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).

Katanya, inisiatif itu juga memastikan isu kekurangan bekalan yang sering berlaku ketika musim perayaan dapat dielakkan.

"Permintaan telur ayam ini akan meningkat pada Ramadan dan Syawal untuk membuat kuih serta sebagainya.

"Jadi kita bimbang menjelang tempoh itu, permintaannya akan lebih tinggi dan sebab itu kita dengan kerjasama Mafi dan pengusaha-pengusaha (pembekal) telur sentiasa mencari alternatif bagi mengatasi isu seumpamanya.

"Sekali gus kita mahu memastikan barangan keperluan harian mencukupi bagi menampung keperluan pengguna (keseluruhannya)," katanya yang ditemui selepas Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Kampung Batu Hampar, Manir, di sini hari ini.

Rosol turut memberi jaminan bekalan keperluan harian yang lain seperti minyak masak juga mencukupi sepanjang Ramadan nanti.

Menurutnya, sebanyak 11,268 pemeriksaan penentuan harga maksimum ayam dan telur dijalankan di seluruh negara sejak 5 Februari sehingga semalam.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 95 kes dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 selain, RM14,700 kompaun dikeluarkan dan sitaan bernilai RM8,733.54," katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2022 @ 3:25pm
d