mutakhir

ATV produk baharu edu pelancongan UPSI

Oleh Ihsan Noorzali

Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi membuat kejutan apabila memperkenalkan aktiviti ATV (All Terrain Vehicle) sebagai salah satu produk edu pelancongan di universiti itu.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, aktiviti ATV di UPSI akan dipasarkan sebagai produk pelancongan pendidikan kepada semua pengunjung yang berminat.

Menurutnya, UPSI yakin kaedah pendidikan melalui aktiviti lasak ini akan menarik minat orang ramai untuk mempelajari sejarah, sains, geografi dan pelbagai bidang lain berbanding kaedah konservatif.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, aktiviti ATV yang diuruskan Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy (AURORA) itu akan menjadi pemangkin kepada semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar.

"Melalui konsep "Earn and Learn", pelajar UPSI akan dilantik sebagai fasilitator dan menguruskan pelancong yang datang sambil belajar serta menjana pendapatan," katanya.

Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr Mazuki Mohd Yasim pula berkata, aktiviti ATV akan memberikan peluang kepada peserta untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan trek laluan lasak mencabar.

Katanya, ATV yang baru dibeli itu buat julung kalinya diperkenalkan di UPSI semasa Majlis Amanat Naib Canselor UPSI Rabu lalu.

Sebanyak 10 ATV dipamerkan dan pengunjung diberikan peluang untuk mencuba dan merasai cabaran mengendalikan ATV di perkarangan Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah.

Disiarkan pada: February 19, 2022 @ 6:12pm
d