mutakhir

Percutian tukar tragedi, kanak-kanak ditemukan lemas dalam kolam

Oleh Melvin Joni

Lundu: Percutian sekeluarga di sebuah pusat peranginan di sini berakhir tragedi apabila anak mereka berusia tujuh tahun lemas ketika mandi di kolam renang di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lundu Deputi Superintendan Damataries Lautin berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.30 pagi hari ini, ketika mangsa yang merupakan anak bongsu bersama-sama dua lagi adik-beradiknya mandi di kolam renang bahagian kanak-kanak, dengan ditemani ibu mereka.

Menurutnya, kejadian disedari orang awam yang mandi di kolam renang itu.

"Orang awam itu membawanya naik dalam keadaan tidak sedarkan diri. Usaha bantuan pernafasan (CPR) dilakukan oleh ibu mangsa namun tiada tindak balas.

"Mangsa kemudian dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Lundu sebelum disahkan meninggal dunia akibat lemas," katanya yang dihubungi, hari ini.

Damataries berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tenggelam di kolam renang sedalam empat kaki itu selama 30 minit.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Disiarkan pada: February 19, 2022 @ 8:45pm
d