mutakhir

Anggota polis bantu iring wanita hamil dapat pujian netizen

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: "Tugas kami hanya membantu masyarakat yang memerlukan, namun tidak menyangka pula bantuan itu menjadi tular," kata Koperal Muhamad Subri Ahmad, 34.

Terdahulu, beliau bersama rakannya, Koperal Mohd Azmi Said memberi bantuan mengiringi sebuah kenderaan yang membawa seorang wanita mengandung ke Hospital Pusrawi, Kota Damansara, Selangor, kelmarin.

Kejadian itu sempat dirakam pengguna jalan raya, Ahmad Hafizuddin yang turut memberi bantuan awal melancarkan trafik sebelum dibantu oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV).

Menceritakan semula pengalaman itu, Muhammad Subri berkata, ketika kejadian jam 3.50 petang, dia dan rakannya dalam perjalanan pulang ke Balai Polis Sungai Buloh selepas menyertai Operasi Tembakau bersama Jabatan Kesihatan Gombak di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh.

"Semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran Stesen KTM Sungai Buloh, kami dihampiri orang awam menaiki motosikal yang memohon bantuan untuk mengiring sebuah Perodua Myvi yang membawa seorang wanita mengandung yang mahu bersalin.

"Kami terus memasang siren dan membuka laluan bagi kereta berkenaan melalui jalan itu tanpa sebarang halangan. Kami memberi bantuan itu sejauh kira-kira empat kilometer sebelum mereka tiba di hospital terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Subri berkata, mereka dimaklumkan bahawa wanita berkenaan sudah melahirkan anak di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke hospital terbabit.

"Saya dan rakan menunggu di kawasan parkir hospital terbabit kira-kira 20 minit sebelum dimaklumkan wakil wanita berkenaan bahawa dia dan bayinya dalam keadaan baik.

"Wakil wanita itu juga mengucapkan terima kasih kepada kami kerana memberikan bantuan mengiring yang memudahkan perjalanan mereka ke hospital," katanya yang bertugas di Balai Polis Sungai Buloh.

Beliau berkata, pada mulanya dia tidak perasan ada pihak yang merakam kejadian itu sehingga rakamannya tular di media sosial sejak semalam.

"Saya ada melihat bayang-bayang telefon bimbit orang awam yang merakam kejadian itu, namun tidak begitu mengendahkannya kerana fokus pada pemanduan.

"Tidak lama kemudian, ada rakan setugas yang memaklumkan bahawa video berkenaan tular di Facebook sehingga mencecah lebih 4,000 tontonan (setakat petang semalam)," katanya.

Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan termasuk dalam situasi berkenaan.

"Sudah menjadi tugas kami untuk membantu masyarakat yang dalam kesusahan.

"Apabila perkara in tular dan mendapat pujian orang ramai, ia mencetuskan rasa lebih semangat untuk berkhidmat pada masyarakat meskipun kami tidak mengharapkan pujian daripada semua pihak," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2022 @ 2:28pm
d