mutakhir

Kerajaan Perak batal tender jual tapak bekas Istana Raja Muda [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kerajaan negeri Perak membatalkan tender penjualan tapak bekas Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu dibuat selepas tender secara terbuka untuk laluan pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur itu mendapat bantahan orang ramai.

"Selepas bantahan orang ramai baru-baru ini, kita membatalkan tender tersebut," katanya ketika ditanya pemberita berkenaan status terkini berhubung isu keputusan penjualan tapak bekas istana itu.

Saarani turut memberitahu bahawa kerajaan negeri tidak bercadang untuk menyewakan tapak itu kepada mana-mana pihak.

Terdahulu beliau hadir merasmikan Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Hasan Arifin.

Oktober lalu, media melaporkan Saarani mengadap Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah berhubung isu keputusan penjualan bekas tapak istana itu.

Media sebelum ini turut melaporkan kerajaan negeri bersetuju menangguhkan sementara proses tender penjualan tapak itu

Saarani dilaporkan berkata, ia bagi membolehkan beberapa kajian terperinci berkaitan tapak itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan bantahan beberapa pihak.

Terdahulu, laporan sebuah media tempatan berhubung jualan secara tender terbuka itu mengejutkan pelbagai pihak kerana ia dianggap sebagai warisan sejarah Kesultanan Perak dan wajar dikekalkan dan dipulihara.

Disiarkan pada: February 21, 2022 @ 3:41pm
d