mutakhir

Pulau Perhentian, Jertih destinasi ekopelancongan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pulau Perhentian dan Jertih di daerah Besut dikenal pasti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebagai kluster destinasi ekopelancongan yang berpotensi dipromosi dan dibangunkan secara bersepadu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, selain dua lokasi berkenaan, daerah Besut mempunyai pelbagai lokasi pelancongan lain seperti Pantai Air Tawar, Pantai Bukit Keluang, Desa Ukiran Kayu, Hutan Simpan Gunung Tebu Dan Kolam Air Panas La yang boleh diketengahkan.

Menurutnya, selain lokasi pelancongan dan rekreasi yang menarik, aktiviti pembuatan rebana, gasing, persembahan dikir barat dan wayang kulit antara keistimewaan yang dilihat boleh memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di daerah berkenaan.

Katanya, tarikan terbaru di daerah Besut adalah sukan lasak luncur angin atau lebih dikenali sebagai paragliding di Bukit Bubus apabila peluncur boleh berada di awangan mencecah ketinggian antara 300 hingga 500 meter daripada paras laut.

"Selain merasai pengalaman berada di awangan, peluncur boleh menikmati keindahan panorama jajaran Bukit Keluang, Laut China Selatan yang terbentang luas termasuk Pulau Perhentian dan Pulau Rhu.

"Berdasarkan rekod, Bukit Bubus pernah menerima kehadiran 74 peserta dari 28 negara dalam Kejohanan Luncur Udara Antarabangsa Terengganu (TIPCO) anjuran kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan pada 2017 dan 2020.

"Selain itu, Discovery Paragliding Beautiful Terengganu juga pernah diadakan di Bukit Bubus dan insya-Allah, satu lagi festival iaitu Terengganu International Air Festival akan diadakan di sana pada Ogos depan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan ke Bukit Bubus, Tembila, Besut semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) Fadli Yusof Zakaria.

Tengku Farok Hussin berkata, aset pelancongan adalah elemen penting dalam industri pelancongan dan berharap enam elemen atau Six A dibangunkan secara bersepadu.

"Enam elemen aset pelancongan (Six A) iaitu attractions (tarikan), accessibility (ketersampaian), amenities (kemudahan), available packages (pakej), activities (aktiviti pelancongan) dan ancillary services (perkhidmatan sampingan) perlu dilihat dengan lebih berfokus dan bersepadu supaya Bukit Bubus menjadi tarikan pelancongan tersohor di negara ini.

"Untuk rekod, JPNT memperuntukkan sebanyak RM143,000 bagi tujuan pengindahan, keceriaan dan kebersihan di 10 lokasi pelancongan terpilih di daerah Besut," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2022 @ 6:53pm
d