mutakhir

JKNK siasat dengan terperinci kematian bayi berusia 2 bulan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kematian bayi berusia dua bulan Jumaat lalu, yang didakwa akibat kecuaian ketika dirawat.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya prihatin terhadap insiden yang berlaku dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bayi.

"Pengurusan hospital sudah menjalankan siasatan awal dan mendapati, pesakit dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ Il) pada 5 Februari akibat cirit-birit melampau selama beberapa hari yang mengakibatkan pelbagai komplikasi.

"Jabatan Kesihatan Negeri memandang serius insiden ini dan akan melakukan siasatan terperinci terhadap semua pihak yang terbabit," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, wakil HRPZ II mengadakan pertemuan dengan waris keluarga bayi.

Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali dipetik berkata, pihaknya sudah mengadakan siasatan membabitkan pakar perubatan, doktor serta jururawat yang bertanggungjawab merawat bayi itu.

Terdahulu, tular rakaman video menerusi Facebook 'Ola Ola' yang mendakwa bayinya berusia dua bulan meninggal dunia akibat kecuaian doktor di HRPZ II ketika memberikan rawatan.

Menerusi video yang meraih tontonan melebihi 60,000 itu, individu terbabit mendakwa anaknya dipaksa berpuasa selama lima hari, diberikan susu sudah tamat tempoh dan diberikan ubat tidur tanpa keizinannya.

Disiarkan pada: February 22, 2022 @ 12:45pm
d