mutakhir

Dicabul dalam bilik simpan barang

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seorang wanita dicabul pekerja lelaki warga Bangladesh di bilik penyimpanan barang di sebuah pusat beli belah di Sri Hartamas, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, mangsa berusia 29 tahun ke tandas, sementara rakan yang lain menunggu di luar namun ketika dia baru keluar tiba-tiba suspek terus menariknya masuk ke dalam sebuah bilik penyimpanan barang berhadapan tandas itu.

Menurut sumber, mangsa cuba menjerit meminta pertolongan namun gagal apabila suspek menutup mulutnya sebelum terus mencabul mangsa.

"Mangsa yang ketakutan melawan beberapa kali sebelum akhirnya berjaya menyelamatkan diri.

"Akibat kejadian itu mangsa lebam di peha sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: February 22, 2022 @ 8:30pm
d