mutakhir

Warta Hutan Simpan Sungai Lembing elak diceroboh

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang bersetuju meluluskan tanah milik kerajaan dekat Kampung Kolong Pahat, Sungai Lembing, Mukim Hulu Kuantan yang seluas 38.68 hektar diwartakan sebagai Hutan Simpan Sungai Lembing.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, mesyuarat MMK keempat diadakan pada 26 Januari lalu bersetuju untuk mewartakan tanah milik kerajaan itu sebagai hutan simpan kekal di bawah Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984.

Katanya, Hutan Simpan Sungai Lembing yang kedudukannya berbukit terbahagi kepada dua plot iaitu A dan B yang masing-masing seluas 15.98 hektar dan 22.7 hektar.

"Pada mesyuarat MMK yang diadakan, semua pihak bersetuju untuk menolak mana-mana permohonan yang bertindan dengan kawasan yang dipohon itu," katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kejayaan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di Kampung Kolong Pahat dan Kampung Seberang selama seminggu bermula kelmarin.

Mohd Hizamri berkata, dengan pewartaan itu, ia memberi kuasa kepada JPNP untuk menyelia dan menguruskan kawasan terbabit daripada sebarang aktiviti tanpa kebenaran.

Individu yang berada di dalam kawasan berkenaan tanpa permit turut boleh didakwa selain pihaknya membuat aktiviti penghutanan semula di situ.

Kelmarin, Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di Kampung Kolong Pahat dan Kampung Seberang, Sungai Lembing diadakan dengan memusnahkan lebih 200 pokok durian Musang King berusia empat hingga lima tahun.

Operasi selama seminggu itu disertai seramai 110 anggota termasuk penguat kuasa JPNP, Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan Jabatan Alam Sekitar Pahang.

Pihak berkuasa terpaksa bertindak tegas memusnahkan lebih 200 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan hutan milik kerajaan yang berpotensi memberikan impak kepada masyarakat dengan bencana banjir dan tanah runtuh.

Jabatan akan menanam dengan 3,000 pokok balak berkualiti tinggi di kawasan bekas kebun durian Musang King berkenaan dalam usaha pemuliharaan Hutan Simpan Sungai Lembing itu.

Berita berkaitan:

  • Ceroboh hutan, tanam durian Musang King [METROTV]
  • Disiarkan pada: February 23, 2022 @ 8:16am
    d