mutakhir

PICKids: Sambutan baik di Negeri Sembilan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Bilangan kanak-kanak di Negeri Sembilan yang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) terus mencatatkan peningkatan.

Setakat ini 36,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau 30.7 peratus berbanding 117,200 kanak-kanak yang layak, sudah mendaftar menerusi program berkenaan yang dilancarkan 3 Februari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, hampir 700 kanak-kanak di Negeri Sembilan sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini.

"PICKids di Negeri Sembilan dilaksanakan melalui 19 Pasukan Kesihatan Sekolah (PKS), 23 Klinik Kesihatan (KK), hospital kerajaan (7) dan hospital swasta (satu) serta enam pusat pemberian vaksin (PPV) yang dikendalikan pihak yang dilantik.

"Enam PPV itu membabitkan pasar raya Mesamall Nilai, Seremban Centrepoint, Kelab d`Tempat Bandar Sri Sendayan, Dewan Orang Ramai Batu Kikir Jempol, Hospital UCSI Port Dickson dan Poliklinik Ayrish di Kuala Pilah," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

"Sehingga kini pelaksanaan PICKIds berjalan lancar dan tiada laporan berhubung masalah kesihatan diterima membabitkan kanak-kanak yang menerima suntikan dan mereka sihat serta berada dalam keadaan baik," katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2022 @ 11:52am
d