mutakhir

'Kali kedua anak meninggal ketika bayi'

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Pilu hati seorang bapa apabila menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan anak bongsu mereka tidak bernafas sebelum disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sendayan, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 3 petang itu, Nour Rania Asyifaa Yuseri, kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Nusari Aman 2, Bandar Sri Sendayan, di sini.

Kejadian itu menjadi ujian berganda kepada pasangan berkenaan apabila pernah kehilangan anak kedua mereka ketika masih bayi akibat komplikasi pada 2020.

Yuseri Yusoff, 39, berkata, dia menerima berita mengenai anak perempuannya itu ketika berada di rumahnya di Bandar Sri Sendayan bersama anak sulungnya berusia tujuh tahun.

"Saya bergegas ke Klinik Kesihatan Sendayan dan ketika tiba doktor sedang cuba membantu memberi bantuan pernafasan sebelum dimaklumkan anak sudah tiada kira-kira 30 minit kemudian.

"Anak tidak menunjukkan apa-apa masalah pada malam sebelum kejadian. Difahamkan ketika kejadian anak saya susah untuk tidur, jadi pekerja pusat asuhan menidurkannya di dalam buaian kerana sebelum ini dia tidak tidur di dalam buai," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, di sini, hari ini.

Yuseri berkata, dia menghantar anaknya ke pusat jagaan berkenaan sejak setahun lalu, malah pernah menghantar anak sulung ke pusat jagaan sama sebelum ini.

Menurutnya, Nour Rania adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan anak keduanya meninggal dunia ketika masih bayi kerana masalah komplikasi.

"Saya terima kejadian ini kerana perkara sudah berlaku, yang selebihnya saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

"Pihak pusat jagaan ada meminta maaf kepada kami sekeluarga atas kejadian ini. Difahamkan pihak polis ada merakamkan percakapan ibu bapa lain yang menghantar anak pusat itu," katanya.

Berita berkaitan

'Kanak-kanak maut tersangkut buaian'

Disiarkan pada: February 23, 2022 @ 2:31pm
d