mutakhir

Lelaki mengaku tidak bersalah tendang bapa tiri

Oleh Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan bapa tirinya minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Farol Rafiq Md Rodzi, 29, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Majistret Nadirah Abdul Rahim.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang hanya bekerja kampung didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada bapa tirinya, Nordin Ahmad, 72.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Masjid, Kampung Ruat, Yan pada 7 pagi, 15 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hamizah Mat Shah, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Farahdina Che Bakar.

Terdahulu, Nur Hamizah memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM8,000 ke atas tertuduh dan meminta dia tidak mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, Farahdina memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah kerana tertuduh seorang yang kurang upaya mental serta dan hanya mengambil upah melakukan kerja kampung.

Nadirah kemudiannya menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh dihantar untuk pemeriksaan psikiatri di hospital.

Majistret juga memerintahkan tertuduh tidak berhubung atau mendekati mangsa.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sepanjang proses perbicaraan dan menetapkan 22 Mac untuk tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian 15 Februari lalu, video seorang lelaki menendang dada dan kepala bapa tirinya tular di media sosial.

Lelaki terbabit yang dikatakan penagih dadah mengamuk kerana bapa tirinya itu enggan memberikan wang seperti dimintanya.

Berita berkaitan

'Dia nak RM50, pak cik suruh bagi RM10' - Ibu [METROTV]

Kerana tidak diberi wang, lelaki tumbuk, tendang bapa tiri

Disiarkan pada: February 24, 2022 @ 3:50pm
d