mutakhir

Lulus dokumen pembelian kereta isteri, PTD didakwa salah guna kedudukan

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan meluluskan dokumen pembelian kenderaan bernilai RM15,000 kepada isterinya, tiga tahun lalu.

Mohaidy Tabin, 43, yang juga Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Majlis Keselamatan Negara Sabah membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menyalahgunakan kedudukannya ketika berkhidmat selaku Ketua Cawangan dan Pengerusi Jawatankuasa Sebut Harga di Pejabat Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Tawau bagi mendapatkan suapan.

Tertuduh didakwa mengambil tindakan memilih Faizah Noor Fauzi iaitu isterinya sendiri sebagai Penyebut Harga yang berjaya dalam Sebut Harga kenderaan lupus jenis Toyota Fortuner 2.7V milik agensi terbabit.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Insolvensi Malaysia, di sini, pada 18 Oktober 2018 dan dia dituduh menurut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Singh manakala tertuduh diwakili peguam Jhesseny P. Kang.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin tempatan selain perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kota Kinabalu iaitu hari bekerja pertama setiap bulan serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Selain itu, tertuduh juga dilarang mengganggu atau menghubungi mana-mana saksi pendakwaan sama ada secara langsung atau tidak langsung termasuk melalui pihak ketiga selain tidak dibenarkan meninggalkan Sabah kecuali dengan permohonan dan kebenaran mahkamah sepanjang tempoh kes di bicarakan.

Pengurusan kes ditetapkan pada 8 April depan.

Keterangan gambar

Mohaidy Tabin, 43, mengelak wajahnya dirakam ketika hadir di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

- tamat

Disiarkan pada: February 24, 2022 @ 4:08pm
d