mutakhir

Roket pertama diterbangkan penuntut universiti

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Roket pertama diterbangkan penuntut universiti.

Itu pencapaian penuntut Kolej Kejuruteraan Mekanikal selepas melancarkan roket seberat 6.5 kilogram dikenali sebagai MADSPACE, semalam.

Ketua High Energy Material Research Laboratory (HEMREL), Prof Madya Ts Dr Zuraidah Salleh berkata, pasukan berkenan mengambil masa selama dua semester untuk menyiapkan roket mereka.

Katanya, ia adalah jalinan kerjasama antara makmal Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan MTC Engineering Sdn Bhd, yang diperkenalkan di bawah program Micro Industri Hub (MIH).

"Seramai 14 pelajar terbabit dalam projek ini, bermula dari subjek Mechanical Engineering Design I (MEC531) apabila proses merekabentuk dan simulasi dijalankan.

"Pada semester berikutnya, mereka meneruskan pembangunan roket di makmal HEMREL untuk subjek MEC532.

"Projek seperti ini memberi manfaat di mana pendedahan kepada pelajar bagi proses keseluruhan merekabentuk produk," katanya.

Beliau berkata, roket yang dilancarkan di Pulau Indah, Selangor itu membuktikan Malaysia mampu menghasilkan teknologi seperti itu.

Katanya, negara mampu menghasilkan pereka hebat dengan kerjasama pelbagai pihak.

"Projek ini diadakan dengan kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pusat Kesihatan UiTM untuk pemantauan prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti pelancaran roket.

"UiTM memperkenalkan lebih 15 tahun projek reka bentuk bersepadu kepada pelajar apabila mereka akan mengamalkan prinsip kejuruteraan dipelajari dari semester pertama serta mengambil kira faktor kos dan kualiti semasa mereka bentuk produk," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama seperti ini dari agensi kerajaan, syarikat swasta, universiti tempatan dan swasta yang berminat.

Katanya, sebelum ini HEMREL membantu melancarkan roket Equatorial Space System (ESS), Singapore.

HEMREL mempunyai misi untuk menjadi pakar merekabentuk roket tersohor di Malaysia, manakala MTC Engineering Sdn Bhd mempunyai kepakaran membangunkan pelantar terapung pelancar roket.

Disiarkan pada: February 24, 2022 @ 5:30pm
d