mutakhir

Jualan nombor plat khas `UC' cecah RM3 juta

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencatat penjualan siri nombor pendaftaran khas UC mencecah RM3 juta sejak bidaan dibuka pada 1 Februari lalu.

Sehingga hari ini, hampir 1,000 nombor dibida dan terjual termasuk nombor yang berjaya ditender oleh staf, pelajar, individu dan syarikat.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga Pengerusi Yayasan UMP berkata, orang awam yang berminat mendapatkan nombor kenderaan khas UC itu boleh berbuat demikian mulai esok.

Katanya, penjualan nombor pendaftaran khas itu susulan hasrat dan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mahu semua universiti awam menjana pendapatan sendiri.

"Ia adalah sebahagian usaha Yayasan UMP meningkatkan sumber pendapatan untuk disalurkan dalam pelbagai program kebajikan bagi manfaat pelajar dan golongan memerlukan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Perancangan Program Belia dan Pelajar Pahang di sini, hari ini.

Hadir sama, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP.

Abdul Aziz berkata, pihaknya mengharapkan warga UMP khususnya dan orang awam dapat menyokong usaha itu.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pembeli termasuk staf, alumni dan mahasiswa UMP yang memberi sokongan.

"Bagi mereka yang masih berminat untuk membeli nombor plat UC, boleh terus ke laman sesawang www.ucplat.com.my yang dikendalikan oleh Sekretariat jualan Aquatwo Sdn Bhd.

"Plat khas UC ini hanya boleh didaftarkan di JPJ Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang bermula 1 Mac ini sehingga November 2024.

"Plat UC sudah diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia kepada UMP.

"Kombinasi kedua huruf iaitu UC ini diambil bagi mewakili huruf U adalah awalan perkataan UMP manakala C pula nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi negeri ini yang juga identiti Pahang," katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2022 @ 7:28pm
d