mutakhir

Polis siasat video anggota pantau SOP solat Jumaat

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Subang: Polis menjalankan siasatan berhubung video tular menunjukkan anggotanya menjalankan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) solat Jumaat di sebuah masjid di Batu 14, Puchong, di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, video berdurasi 29 saat itu dimuat naik pemilik akaun Facebook dengan kapsyen 'masuk masjid macam pengganas besar. Allah'.

"Semakan mendapati kejadian berlaku 1 tengah hari semalam, ketika anggota berpangkat Koperal menjalankan tugas rutin pemantauan solat Jumaat dan SOP di kawasan pentadbiran Balai Polis Bukit Puchong.

"Anggota menerangkan berkaitan SOP terbaru bagi Selangor iaitu jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat perlu lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 serta dos penggalak sebelum dibenarkan masuk," katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, satu laporan polis dibuat mengenai penularan video berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menyiarkan hantaran menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam melalui kemudahan rangkaian telekomunikasi.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada polis melalui Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Disiarkan pada: February 26, 2022 @ 4:36pm
d