mutakhir

Dua calon termuda PRN Johor azam bela nasib belia

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Calon paling muda Negeri (PRN) Johor yang juga mewakili Barisan Nasional (BN), Kelly Chye Pei Yee berazam membawa suara anak muda ke pentadbiran kerajaan negeri jika mendapat mandat pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol.

Kelly, 26, berkata beliau juga berazam ingin memastikan golongan muda dapat memiliki pekerjaan tetap sekali gus memastikan nasib keluarga mereka terjamin.

"Aspirasi saya adalah meningkatkan peluang pekerjaan di Kluang supaya anak muda boleh kembali bekerja dan menyara keluarga masing-masing dalam zaman yang serba mencabar ini.

"Bagi pengundi di DUN Mengkibol saya mempunyai manifesto untuk membangunkan zon perindustrian yang berteknologi tinggi dan menarik pelabur asing bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk sekali gus meningkatkan kuasa pengguna secara keseluruhannya," katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Multimedia (MMU) dan kini bekerja di syarikat swasta.

Dalam pada itu, calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bagi DUN Tangkak, Muhammad Airel Zabridin, 26, juga berazam ingin memperjuangkan suara orang muda supaya sentiasa didengari kerajaan.

"Sebagai anak jati Kampung Seri Ma'amor Tangkak, saya mewakili suara generasi muda yang ingin memartabatkan masa depan anak muda negeri ini ke arah yang lebih baik.

"Anak muda pada hari ini perlu pemimpin yang bersih, bermaruah dan terbukti khidmatnya kepada rakyat.

"Diharap dengan pemilihan pemimpin PEJUANG menjadi titik permulaan kepada pembangunan negeri yang cemerlang untuk rakyatnya dan bukan untuk kepentingan peribadi," kata pemegang lulusan Diploma Ukur Bahan Institut Teknologi itu.

Disiarkan pada: February 26, 2022 @ 5:42pm
d