mutakhir

Citrawarna Keluarga Malaysia jadi penanda aras penganjuran program lain

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Kejayaan penganjuran Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat menjadi penanda aras kepada penganjuran acara besar lain di seluruh negara selepas ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, walaupun jumlah kes Covid-19 masih tinggi, rakyat tidak boleh terus hidup dalam ketakutan kerana jangkitan tetap akan berlaku walaupun ketika Citrawarna tidak diadakan.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu memberanikan diri selepas dua tahun belajar mengurus bagaimana hidup dalam normal baharu.

"Kita memperkenalkan SOP yang begitu ketat pada penganjuran Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 ini dan ia menjadi penanda aras SOP untuk menganjurkan aktiviti besar lain pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan hari keempat ke lokasi Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Saraya Arbi dan Ketua Pengarah Arkib Negara Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching adalah yang pertama diadakan di luar Semenanjung terutamanya Kuala Lumpur.

Nancy berkata, konsep pentas terapung untuk acara kebudayaan serta persembahan artis terkemuka antara kelainan yang ternyata menarik perhatian ramai.

"Pemilihan Tebingan Kuching sebagai lokasi penganjuran bertepatan dengan tema 'Temasya Kepelbagaian Budaya' apabila kita mempamerkan kepada orang luar mengenai kepelbagaian budaya yang terdapat di Sarawak ini," katanya.

Mengenai sasaran 50,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran Citrawarna bermula 24 hingga 27 Februari, Nancy berkata, beliau percaya ia melebihi sasaran.

Sementara itu, beliau berkata, pendapatan hasil jualan produk kraf menghampiri sasaran RM200,000 apabila meraih sebanyak RM162,000 pada hari ketiga penganjuran program, semalam.

"Seramai 53 pengusaha kraf tangan dari seluruh negara mempamer produk masing-masing di tapak program ini," katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2022 @ 3:55pm
d