mutakhir

Pulau Undan tarikan baharu ke Melaka [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Pembukaan Pulau Undan, satu daripada tiga pulau 'premium' di negeri ini menjadi alternatif terbaik kepada pelancong jika tidak dapat bercuti ke pulau peranginan di Pantai Timur akibat musim tengkujuh.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) Azhar Yaacob berkata, pulau itu bukan saja dekat, malah kaya dengan terumbu karang dan hidupan laut kelas A yang setanding keindahan pulau peranginan lain.

Katanya, pulau peranginan di Pantai Barat termasuk di Melaka juga dapat beroperasi sepanjang tahun kerana bebas ancaman angin Monsun Timur Laut yang menyebabkan ketidaktentuan cuaca dan laut bergelora.

"Ada 16 pulau di Melaka yang boleh kunjungi pelancong sepanjang tahun berbanding di Pantai Timur seperti Terengganu dan pulau di Mersing, Johor, mereka terpaksa menutup operasi selama empat bulan bermula Oktober atau November akibat musim tengkujuh.

"Jarak pulau di Melaka juga dekat dengan daratan, jika pergi pagi, petang sudah boleh balik, hanya 20 minit saja dari jeti," katanya selepas Program Eksplorasi Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol sempena cadangan pewartaan sebagai Taman Laut Negara di sini, hari ini.

Perasmian program disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan turut dihadiri Pengarah Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon.

Azhar berkata, justeru penggemar pulau peranginan termasuk mereka yang tidak dapat ke Terengganu dipelawa melawat Pulau Undan sebelum ia diwartakan bersama Pulau Dodol dan Pulau Nangka sebagai Taman Laut Negara kedua di Pantai Barat selepas yang pertama di Pulau Payar, Kedah.

"Buat masa ini belum ramai orang datang selam snorkel dan skuba bagi melihat keindahan terumbu karang dan ikan hiasan di sini yang lebih besar, cantik dan lasak berbanding tempat lain.

"Kita amat berharap Pulau Undan menjadi produk pelancongan kegilaan penyelam dan peminat pulau kelak.

"Namun, bagi memelihara kebersihan dan ekosisten terumbu karang sebelum pewartaan kita terpaksa hadkan bilangan pelancong, maksimum 100 atau 150 orang sehari," katanya sambil menambah pulau itu hanya dibuka siang hari kepada awam.

Disiarkan pada: February 27, 2022 @ 4:41pm
d