mutakhir

Polis siasat video pemandu van dipukul [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian pukul di Jalan PUJ 3, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 21 saat yang tular di Facebook, hari ini.

"Video menunjukkan seorang lelaki menaiki Proton Saga BLM memukul pemandu van berwarna putih.

"Lelaki itu juga dilihat mengeluarkan kata-kata 'nak lagi tak, nak lagi tak' sambil menumbuk mangsa beberapa kali dan menarik keluar mangsa dari van sehingga jatuh ke tengah jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anbalagan berkata, punca kejadian masih tidak dapat dikenal pasti kerana sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat kedua-dua pihak.

"Bagaimanapun, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan terhadap kejadian itu.

"Kami memohon kerjasama individu yang terbabit dalam kejadian ini atau orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

"Orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Sophian Sian di talian 016-5092654 atau Bilik Gerakan IPD Serdang di talian 03-80742222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2022 @ 11:32pm
d