mutakhir

Lelaki cuba hayun kapak ke arah pegawai JPJ

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Padang Terap: Tindakan seorang pemandu lori balak menghayunkan kapak ke arah pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melakukan pemeriksaan terhadapnya mengundang padah apabila dia akhirnya ditahan polis.

Kejadian dipercayai berlaku di simpang tiga Jalan Kurung Hitam, jam 10.50 pagi semalam.

Suspek yang berusia 50-an itu dikatakan tidak berpuas hati serta enggan bekerjasama dengan pegawai JPJ terbabit yang ketika itu sedang melakukan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, terdahulu, dua pegawai penguat kuasa terbabit memberhentikan kenderaan di tepi lori sebelum suspek turun sambil menunjukkan saman yang diterimanya Januari lalu.

Beliau berkata, pegawai JPJ itu kemudian meminta lelaki terbabit menunjukkan lesen memandu serta Mykad miliknya, namun suspek enggan memberi kerjasama.

"Selain itu, suspek turut mengeluarkan telefon bimbit sambil merakam video dua pegawai JPJ terbabit sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

"Ketika itu, suspek dikatakan mengeluarkan kapak dari lorinya dan dipercayai menghayunkan senjata tajam itu ke arah pegawai JPJ terbabit," katanya di sini, hari ini.

Mulkiaman berkata, bagaimanapun pegawai JPJ terbabit sempat merampas kapak berkenaan sebelum membuat laporan polis.

Berikutan itu, pemandu lori itu ditahan untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: March 3, 2022 @ 8:12am
d