mutakhir

Tauke ikan laga terima dua anugerah Majlis Konvokesyen MAFI

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: "Kerana minat mendalam kepada aktiviti pertanian, saya tolak tawaran menyambung pelajaran di peringkat ijazah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2017," kata penerima Anugerah Khas Pingat Emas Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Nur Aifa Shaaeri.

Nur Aifa, 26, dari Pasir Putih, Kelantan, berkata dia memilih Kolej Pertanian Malaysia, Kedah pada 2017 dalam bidang tanaman di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan menyambung di peringkat Diploma sehingga 2020.

Menurutnya, dia memilih Kolej Pertanian kerana menggemari tumbuhan hijau dan ingin mendalami ilmu berkenaan.

Katanya, sejak 2021, dia menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan projek keusahawanan dengan tanaman jagung, cili padi, kangkung dan penternakan ikan hiasan.

"Sehingga kini, saya sudah mengeluarkan modal sendiri hampir RM80,000 dengan bantuan suami, Muhammad Syafiq Saifuddin Khairul Anuar, 27 dan ahli keluarga bagi mengusahakan ladang di Gong Depu, Pasir Putih.

"Hasil tanaman itu dipasarkan kepada penduduk tempatan dan memperoleh pendapatan sekitar RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.

"Baka ikan hiasan dibeli di Perak kerana harganya murah dan kemudiannya diternak untuk dijual kepada penduduk tempatan di kedai sendiri di tepi jalan berdekatan rumah," katanya selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-10 Tahun 2022 anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Nur Aifa berkata, ketika ini dia mengusahakan ladang secara bersendirian dan dibantu suami pada hujung minggu sekiranya dia tidak bekerja.

Menurutnya, ladang itu adalah ihsan bapa saudara yang menetap di Kuala Lumpur dan dia memasang impian untuk memiliki ladang sendiri suatu hari nanti.

Katanya, pilihan dibuatnya sangat berbaloi dan tepat kerana kerjaya itu memberi peluang pekerjaan serta dapat menjana ekonomi.

Pada majlis itu, Nur Aifa menerima anugerah berganda iaitu Anugerah Khas Ketua Setiausaha MAFI dan turut menerima sijil serta wang tunai sumbangan MAFI.

Anugerah disampaikan Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Disiarkan pada: March 3, 2022 @ 6:18pm
d