mutakhir

2 pensyarah UPSI berpeluang kembang pendidikan awal kanak-kanak

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Dua pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berpeluang meningkatkan profesionalisme pendidikan terutamanya pendidikan awal kanak-kanak menerusi Program Sangkutan di Trnava University di Trnava, Slovakia, bulan ini.

Pensyarah Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, Profesor Madya Dr Nordin Mamat dan Profesor Madya Dr Abdul Halim Masnan ditawarkan mengikuti program tiga minggu bermula pada 12 Mac ini di universiti itu.

Dr Abdul Halim berkata, dia bersyukur dengan tawaran itu bagi meningkatkan pembangunan pendidikan, profesional dan pengurusan dalam pendidikan, latihan, belia dan sukan.

"Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan pembiayaan Erasmus+ iaitu program utama negara Eropah untuk menyokong dan meningkatkan pembangunan pendidikan, profesional dan pengurusan dalam pendidikan, latihan, belia dan sukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, program itu akan membuka peluang kepada pelbagai jenis program mobiliti membabitkan pelajar, akademik, pentadbir, pembangunan serta Kerjasama Dasar Sokongan yang membabitkan hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi pendidikan.

"Dalam usaha menjadikan UPSI sebagai universiti nombor satu pendidikan bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia, kerjasama dengan Trnava University in Trnava (TUT) di Slovakia diharapkan dapat membuka jalan dalam meluaskan bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak di bumi Eropah.

"TUT yang ditubuhkan pada 1635 adalah antara universiti tertua di Slovakia malah berada dalam kedudukan 20 universiti Slovakia dan Czech dan menduduki tempat kelima sebagai universiti Slovakia tertinggi," katanya.

Katanya, reputasi hebat universiti itu diharapkan dapat memberi peluang kepada kedua-dua universiti untuk mengadakan pengajaran dan bengkel berkaitan budaya dan tradisi masyarakat di Malaysia di samping mengadakan memorandum persefahaman (MoU) berkaitan kepakaran geran penyelidikan dan perundingan.

Bagi Dr Nordin pula, pemilihannya itu menjadikan Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak sebagai pusat penyelidikan, pembangunan pengajaran dan pengeluaran produk kanak-kanak dengan membabitkan kerjasama antarabangsa dengan Jabatan Pendidikan, Trnava Universiti of Trnava.

Sementara itu, Naib Canselor Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, dalam usaha menjadikan UPSI sebagai peneraju Universiti Nombor Satu Pendidikan di Malaysia, kerjasama strategik sebegitu diharapkan dapat digembleng terutama dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Disiarkan pada: March 5, 2022 @ 11:37am
d