mutakhir

Cadang guna MySejahtera untuk mudahkan derma organ [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Aplikasi MySejahtera yang dibangunkan untuk memantau jangkitan Covid-19 dicadang untuk ditambah nilai bertujuan untuk pendermaan organ.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, situasi pendermaan organ di negara ini semakin berkurang.

"Ia menyebabkan rawatan pembedahan transplan organ khususnya bagi pesakit buah pinggang peringkat akhir (ESKD) sukar dilakukan.

"Jumlah mereka bersetuju menderma organ hari ini semakin berkurangan dan kita mungkin akan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk memudahkan rakyat Malaysia (menderma)," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Persidangan Tahunan Dialisis, di sini hari.

Hadir sama Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Datuk Dr Zaki Morad.

Khairy berkata, bilangan pesakit buah pinggang di seluruh negara dijangka meningkat sehingga 106,000 orang menjelang tahun 2040.

"Ketika ini terdapat 40,000 pesakit yang sedang menjalani rawatan dialisis. Kajian mendapati 8,000 pesakit baharu disahkan pada tahun 2018.

"Trend ini meningkat saban tahun. Jika ia berterusan maka jumlah pesakit yang perlu dialisis akan mencecah 106,000 pada 2040," katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2022 @ 2:11pm
d