mutakhir

Bayi perempuan 24 hari ditemui maut

Oleh Ahmad Hasbi

Rembau: Bayi perempuan berusia 24 hari ditemui tidak sedarkan diri ketika tidur di rumah keluarganya di Kampung Batu 1, Pedas Tengah, di sini, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Rembau, tengah hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian pada 1 tengah hari itu, polis belum dapat mengesahkan punca kematian bayi berkenaan memandangkan bedah siasat belum dilakukan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, anak bongsu daripada enam beradik itu disedari tidak memberi respons ketika kakaknya mahu membetulkan kain bedung.

"Berdasarkan siasatan awal, ibu bayi itu yang berusia 42 tahun menyusukannya pada 12.39 tengah hari tadi. Selepas ditidurkan bayi itu diletakkan di ruang tengah rumah.

"Kira-kira 30 minit kemudian kakak bayi itu ingin membetulkan kain bedung sebelum mendapati adiknya dalam keadaan tidak bertindak balas," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Hazri berkata, ibu bayi membawa anaknya itu ke Unit Kecemasan Hospital Rembau sebelum doktor bertugas mendapati tiada nadi dikesan dan badannya dalam keadaan sejuk.

Beliau berkata, prosedur kecemasan dengan memberikan bantuan pernafasan dijalankan, namun tiada tindak balas sebelum doktor mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

"Bedah siasat belum dijalankan kerana masih menunggu laporan keputusan ujian Covid-19 dan jenazah bayi kini berada di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.

"Satu laporan polis berhubung kejadian dibuat ibu bayi berkenaan 5 petang tadi dan setakat ini, punca kematian belum dipastikan dan polis akan menjalankan siasatan lanjut selepas laporan bedah siasat diperoleh," katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2022 @ 9:06pm
d