mutakhir

PM prihatin polis pengiring kemalangan [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh dan Mahaizura Abd Malik

Pontian: Tindakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang keluar melihat keadaan anggota polis bermotosikal yang terbabit kemalangan ketika mengiringi rombongan Perdana Menteri di Pekan Benut, pagi ini, mendapat perhatian orang ramai.

Dalam kemalangan 9.30 pagi itu, Perdana Menteri dalam perjalanan ke program Pelancaran Kolej Komuniti Satelit di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut, di sini.

Ismail Sabri turun dari kenderaan rasminya sejurus selepas kemalangan itu bagi memeriksa kecederaan dialami polis pengiring berkenaan.

Selepas memastikan anggota polis itu menerima rawatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beliau meneruskan perjalanan ke majlis berkenaan.

Difahamkan, anggota polis berkenaan tidak mengalami kecederaan serius dan diarahkan mendapatkan rawatan susulan.

Ismail Sabri mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke negeri ini sejak Jumaat lalu dengan melancarkan Penyerahan Surat Tawaran Residensi Larkin di Jalan Datin Halimah.

Semalam, Perdana Menteri melancarkan Sambutan Hari Landskap Negara di Taman Eko Flora, dan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Plaza Angsana, di Johor Bahru.

Hari ini yang juga hari terakhir lawatan rasmi, Ismail Sabri akan merasmikan Karnival Kerjaya Jamin Kerja di Dewan Jubli Intan, di sini, kira-kira jam 11 pagi, selepas program di Benut.

Ismail Sabri kemudian akan ke Segamat bagi melancarkan Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, Segamat pada jam 2.30 petang ini.

Sebelum mengakhiri lawatan beliau dengan perasmian Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Segamat pada jam 5 petang.

Disiarkan pada: March 6, 2022 @ 11:28am
d