mutakhir

Keluar ke laut nelayan, balik bawa Pati [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Pelabuhan Klang: Keluar sebagai nelayan namun pulang membawa pendatang asing tanpa izin (Pati).

Itu dilakukan tekong warga Indonesia yang aktif membawa masuk warga asing ke negara ini sejak empat bulan lalu.

Lelaki berusia 30-an itu bersama tiga pembantunya menggunakan bot nelayan tempatan dan mengenakan bayaran sehingga RM1,800 seorang untuk masuk ke negara ini.

Bagaimanapun tindakan lelaki berkenaan berjaya dihidu apabila bot yang membawa 60 Pati ditahan di 1.7 batu nautika dari persisir pantai Sungai Besar pada jam 1 pagi tadi.

Mereka ditahan Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya menahan tekong bersama tiga pembantunya itu serta 60 Pati dari Indonesia.

"Siasatan lanjut mendapati warga asing ini membayar sehingga RM1,800 kepada ejen di Indonesia.

"Semua migran adalah warganegara Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baru masuk ke Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan.

"Siasatan awal terhadap tekong terbabit mendapati dia dan pembantu aktif menguruskan migran keluar dan masuk Malaysia sejak dua hingga empat bulan yang lalu," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Fadil berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik bot yang didaftarkan di atas nama nelayan tempatan.

"Hasil serbuan yang dijalankan itu, polis merampas sebuah bot nelayan kelas B dan juga satu buku lesen vesel," katanya.

Menurutnya, semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2022 @ 2:01pm
d