mutakhir

Polis dan JPV siasat kes 15 kucing mati diracun

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Pemeriksaan awal polis terhadap bangkai 20 kucing yang disyaki diracun di Pantai Bukit Keluang, di sini, semalam mendapati kesan lebam pada perut, terdapat darah pada mulut dan hidung serta ada perut yang sudah terburai.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, 15 kucing mati manakala dua ekor kucing masih hidup namun dalam keadaan kesakitan.

"Pada jam 8.30 pagi semalam, seorang lelaki melihat beberapa ekor kucing mati dan bergelimpangan sekitar pantai.

"Dua ekor mati berdekatan persisiran pantai manakala 13 ekor kucing lagi mati di tanah berdekatan pokok," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rozak berkata, terdapat kesan lebam biru di perut, darah pada mulut dan hidung serta ada yang terburai perut.

"Bangkai kucing itu ditanam oleh lelaki terbabit namun pihak Penguatkuasaan dan Teknikal dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Besut dan Kuala Terengganu mengorek semula untuk siasatan lanjut," katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan (khianat ke atas binatang) yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri, Dr Anun Man berkata, pihak selesai mengambil sampel dari bangkai kucing untuk analisa kimia dan diagnostik.

Katanya, JPV melalui Penguat Kuasa Veterinar Negeri membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

Menurutnya, kesalahan itu boleh dikenakan hukuman maksimum sehingga tiga tahun penjara dan denda maksimum sehingga RM100,000.

Beliau berkata, orang awam disarankan membuat aduan kebajikan haiwan secara rasmi menerusi laman web MyAnimalWelfare di https://awa.dvs.gov.my/support.

Berita berkaitan

20 kucing ditemukan mati

Disiarkan pada: March 7, 2022 @ 11:22am
d