mutakhir

2 maut, lori rempuh motosikal bawah jejambat

Oleh Izad Thaqif Hassan

Gurun: Dua maut manakala beberapa penunggang motosikal yang berteduh di bawah jejambat parah selepas dirempuh lori di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) Arah Selatan, dekat sini, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian 3.30 petang itu, semua mangsa berteduh daripada hujan lebat di bawah jejambat berkenaan.

Bagaimanapun, mereka dirempuh lori yang dikatakan mengalami kerosakan sehingga lelaki yang memandu lori berkenaan hilang kawalan.

Akibatnya, lori berkenaan terbabas ke tepi lebuh raya dan merempuh beberapa penunggang motosikal sehingga membuatkan mereka tercampak ke dalam longkang berhampiran.

Dalam video dan foto yang tular di media sosial kelihatan tiga lelaki sedang merintih menahan kesakitan akibat kecederaan dialami selepas dirempuh lori.

Dua daripada mangsa tercampak dalam longkang manakala seorang lagi dilihat dalam keadaan berlumuran darah di bawah jejambat.

Difahamkan, sekurang-kurangnya sembilan motosikal berada di bawah jejambat itu manakala jumlah keseluruhan mangsa yang terbabit dalam nahas berkenaan masih disiasat.

Setakat ini, polis dilaporkan baharu selesai menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan dua mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: March 7, 2022 @ 6:45pm
d