mutakhir

Kerana ikan 10 sen seekor, pelanggan tak hirau penjarakan fizikal

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Tawaran ikan mabong yang dijual dengan harga 10 sen seekor menyebabkan pelanggan sebuah pasar raya di sini, berebut tanpa menghiraukan penjarakan fizikal.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, kejadian itu dikesan berlaku sempena pembukaan pasar raya itu di Tunjong, hari ini.

"Pada 3 petang tadi, tular satu rakaman video di media sosial mengenai kejadian orang ramai berebut mendapatkan barangan keperluan tanpa mengamalkan penjarakan sosial dan gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

"Semakan mendapati berlaku perkumpulan pelanggan di tempat jualan disebabkan orang ramai berebut untuk mendapatkan ikan mabong yang dijual dengan harga 10 sen seekor.

"Kejadian itu berlaku sebaik sahaja selesai majlis perasmian pembukaan pasar raya berkenaan dan ia berlangsung lebih kurang 10 minit sebelum tindakan menghentikan jualan terbabit dilakukan oleh pihak pengurusan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam video berdurasi 16 saat itu, kelihatan sekumpulan pelanggan pasar raya berkenaan saling berasak kerana berebut mendapatkan ikan mabong yang dijual dengan harga sangat murah dengan mengabaikan SOP.

Mohd Suhaimi berkata, pihak pengurusan segera menamatkan tawaran harga murah itu dan keadaan kembali terkawal.

"Saya menasihati orang ramai agar tidak menularkan isu terbabit dan sentiasa mematuhi SOP semasa berada di tempat awam.

Disiarkan pada: March 10, 2022 @ 11:38pm
d