mutakhir

TMIYC pusat aktiviti anak muda Johor

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Pusat aktiviti belia Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) dijangka diperluaskan di semua daerah di Johor, selaras dengan hasrat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Selepas pelancaran TMIYC Johor Bahru dan Muar pada Disember 2020, pusat belia ini akan ditubuhkan di Simpang Renggam dan Pasir Gudang.

TMIYC menjadi platform bagi generasi muda untuk mengatur dan menyelaras kerja sukarelawan, bukan sahaja untuk rakyat Johor tetapi juga rakyat Malaysia amnya.

Malah, ketika krisis banjir pada hujung tahun lalu, belia di bawah Southern Volunteer (SV) menyelaraskan usaha bantuan banjir di Selangor dan Pahang, selain Johor.

Pusat belia Muar turut dijadikan pusat penyelarasan bantuan mangsa banjir dan usaha TMIYC berjaya mengumpul lebih RM600,000 sumbangan.

TMIYC adalah cetusan idea Tunku Ismail, ditubuhkan dengan hasrat untuk melahirkan pemimpin baharu dan berkebolehan yang hatinya terletak pada aktivisme dan aktiviti sukarelawan.

Sehubungan itu, TMIYC diharap menjadi nadi kepada belia di Johor untuk mereka meluangkan masa dengan kerja amal dan diperluaskan ke setiap daerah di Johor supaya dapat digunakan sepenuhnya supaya lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat.

TMIYC akan diperluaskan ke daerah Kluang dan Pasir Gudang tahun ini, dengan anggaran kos masing-masing RM2.5 juta dan RM15 juta.

Pembukaan TMIYC menjadi antara usaha di bawah agenda Orang Muda Johor (OMJ) dalam Belanjawan 2022 dengan dua aspek pembangunan diberi tumpuan iaitu pembangunan fizikal dan pembangunan Insan.

Pembangunan fizikal ialah titik penghubung bagi intervensi pembangunan sosial yang berpusat untuk golongan belia untuk menjadi masyarakat masa depan yang berteladan dan berkebolehan.

Pembangunan insan pula untuk memupuk pemikiran belia yang lebih kreatif dan inovasi dalam semua bidang dari segi seni, sukan dan perniagaan.

Dianggarkan terdapat lebih 1.5 juta golongan muda yang berusia antara 14 hingga 39 tahun di negeri itu.

Terdapat 11 komponen kemudahan di TMIYC antaranya pusat belia berkumpul, skatepro, rock yard, the stage, mountain bike trail, pump track dan kiddo ground.

Selain TMIYC, di bawah agenda Orang Muda Johor, pelbagai inisiatif berteraskan sukan menerusi pembabitan atlet dan masyarakat juga akan dijalankan, dengan peruntukan RM14.5 juta.

Antaranya Program GRIT Johor 2030, program pembangunan bakat oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Karnival Sukan Makmur XTIF Johor.

Disiarkan pada: March 11, 2022 @ 3:57pm
d