mutakhir

Taman tema laut interaktif bakal dibuka

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Taman tema laut interaktif pertama di Asia, Perdana Quay Eco Marine Park bernilai RM50 juta mula dibuka pada 27 Mac ini, menjadi produk pelancongan terbaharu di pulau ini.

Berkonsepkan interaktif langsung, taman tema di Pantai Kok ini dibangunkan Explicit Eco Marine Sdn Bhd (Explicit Eco Marine) dan memberi peluang pengunjung berinteraksi dekat dengan pelbagai spesies marin di kolam air laut.

Pengarah Urusan Kumpulan Explicit Eco Marine, Kelvin Foo Chian Wei, berkata, pembukaan taman tema itu dilihat tepat pada masanya untuk merancakkan semula ekonomi di pulau bebas cukai itu.

"Projek yang bermula sejak 2017 itu bakal dibuka secara pra-pelancaran mulai 27 Mac ini, manakala pembukaan rasmi akan dibuat pada Mei ini.

"Pengunjung boleh berenang bersama jerung, pari dan hidupan laut lain serta memberi makan ikan dengan tangan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara keseronokan lain ditawarkan kepada pengunjung termasuk pusat beli-belah bebas cukai seluas 4,572 meter persegi, pantai buatan, kolam infiniti, kolam sentuh, kolam snorkeling, kedai runcit dan restoran makanan laut.

Disiarkan pada: March 12, 2022 @ 11:06am
d