mutakhir

Ibu tunggal hilang sejak Selasa lalu

Oleh Rosli Ilham

Chukai: Seorang ibu tunggal dilaporkan hilang selepas menghantar ibunya ke sebuah klinik swasta di Bandar Kemaman, di sini, sejak 8 Mac lalu.

Adik tirinya, Che Ku Noraini Che Ku Mohd Arifin, 37, berkata, pada 8 Mac lalu, dia bersama Zaizura Mat Hussin, 45, menghantar ibu, Hamimah Latif, 67, ke klinik untuk rawatan dialisis kira-kira jam 11 pagi.

"Ketika di klinik, kakak menemani ibu sementara saya menunggu di dalam kereta. Tidak lama selepas itu kakak hantar mesej meminta saya pulang ke rumah terlebih dulu.

"Dia juga memaklumkan mahu keluar selepas selesai menghantar ibu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Lalang, Binjai, di sini.

Katanya, pada jam 3.30 petang, dia pergi semula ke klinik dan mendapati hanya ibunya berada di klinik itu.

"Saya beberapa kali menghubungi telefon kakak namun tidak aktif sehingga ke hari ini.

"Saya dan keluarga buntu terutamanya ibu yang yang bimbangkan keselamatan kakak. Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan dan sentiasa ceria," katanya.

Cik Ku Noraini berkata, Zaizura sebelum ini tinggal di Pasir Putih, Kelantan dan selepas suaminya meninggal dunia dua tahun lalu, dia pulang ke Kemaman untuk menjaga ibu.

"Empat anak kakak berusia antara 14 hingga 22 tahun tidak ikut ke Kemaman dan kakak berhajat pulang ke Kelantan bertemu dengan anak-anaknya.

"Kakak sehingga kini gagal dihubungi dan saya membuat laporan kehilangannya di Balai Polis Chukai, pada 9 Mac.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi saya di talian 016-5090689 atau menghubungi balai polis terdekat," katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2022 @ 10:50am
d