mutakhir

Usah lalai, perlu fikir strategi menang PRU: Annuar

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) tidak boleh leka dengan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya perlu memikirkan strategi dan langkah seterusnya untuk melakar kejayaan dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, cabaran yang paling besar adalah mengurus kemenangan, kerana yang menang bukan bererti terus menang.

"PRN adalah satu pertempuran atau satu 'battle.' Tidak bermakna kita memenangi peperangan.

"Ke hadapan kita perlu cekap dan berhati-hati. Pihak yang kalah tidak berdiam diri, malah pastinya akan menyusun strategi. Manakala pihak yang menang mungkin mudah lupa atau besar diri," katanya dalam hantaran Facebook beliau.

PRN Johor menyaksikan BN menang dengan majoriti dua pertiga apabila menang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

Menyentuh mengenai peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu kurang daripada 60 peratus, Annuar berkata, ini menunjukkan sekurang-kurangnya 20 peratus pengundi memilih untuk menyepi dan memerhati pada pilihan raya negeri kali ini.

"Perlu kita fikir siapa mereka dan ke mana undi mereka PRU nanti," katanya yang turut berterima kasih kepada rakyat Johor yang telah memberi kemenangan BN.

"Terima kasih Johor. Terima kasih kepada semua yang membantu. Bak kata seorang penganalisa politik, kelebihan BN ialah kejayaannya menampilkan barisan yang bersatu. Benar. Bersatu itu teguh," katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2022 @ 11:24am
d