mutakhir

Selepas Imicron, kini muncul pula Deltacron

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Walaupun populasi lengkap divaksin di Malaysia melebihi 98 peratus namun rakyat dinasihatkan terus berwaspada susulan penemuan varian terbaharu Deltacron.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, mengikut kajian, varian Deltacron ini mudah menjangkiti mereka yang rendah imunisasi.

Menurutnya, kebiasaannya varian sebegini mudah menjangkiti penduduk di negara yang rendah kadar imunisasinya.

"Rakyat Malaysia perlu terus berwaspada dengan varian terbaharu ini tambahan pula kita akan menuju fasa endemik mulai 1 April ini.

"Deltacron mudah menjangkiti mereka yang mempunyai masalah daya tahan tubuh yang rendah," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, vaksin yang sudah disuntik mempunyai keupayaan mengurangkan kesan varian Delta dan Omicron.

Katanya, dengan vaksinasi yang sudah diberikan, ia dijangka boleh mengurangkan risiko jangkiti varian baharu ini.

"Data mengenai varian terbaharu ini masih lagi terhad dan pakar perubatan tidak tahu sejauh mana kadar penularannya.

"Apa yang penting kini rakyat terus kekal dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi melindungi diri dari dijangkiti," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengumumkan varian itu dikesan di Perancis, Belanda dan Denmark.

Varian hibrid ini boleh merebak antara manusia namun pakar kesihatan memaklumkan ia tidak merebak pada kadar yang membimbangkan untuk mengatasi varian dominan Omicron.

Disiarkan pada: March 13, 2022 @ 4:36pm
d