mutakhir

Bantu hasrat pelajar ke menara gading

Oleh BERNAMA

Bera: Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dapat membantu merealisasikan hasrat pelajar luar bandar dan pedalaman ke menara gading, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, dengan program turun padang yang bakal diadakan di 50 lokasi di seluruh negara itu, golongan berkenaan dapat didekati sekali gus memudahkan urusan mereka melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

"Malah, jelajah pendidikan ini dapat membantu pelajar yang mempunyai masalah kewangan untuk melanjutkan pelajaran dengan sumbangan dihulurkan daripada pelbagai agensi.

"Kita juga fokus untuk bantu golongan ini kerana ada kalanya status dan latar belakang keluarga tidak mengizinkan mereka lanjutkan pengajian, jadi kita cuba bantu menerusi jelajah ini.

"Saya juga menyeru supaya agensi kerajaan, syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyumbang supaya lebih ramai pelajar miskin dan tidak berkemampuan dapat dibantu untuk menyambung pengajian," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian JPKM di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Induk JPKM Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN Datuk Mohd Aizuddin Ghazali.

JPKM akan berlangsung selama dua bulan bermula 6 Mac hingga 30 April bagi memberi peluang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tercicir untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.

Selain itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera memaklumkan JPKM yang dianjurkan di Bera menyasarkan 1,000 individu mendapat manfaat daripada program tersebut.

Tambah beliau, menerusi jelajah itu, pelajar yang tercicir untuk mendapat tempat di IPT antaranya kerana tersilap isi borang secara dalam talian, lewat hantar borang dan tersilap memilih jurusan dapat diberikan peluang sekali lagi.

"Kita akan turun untuk bertemu secara langsung dengan pelajar yang ada masalah tersebut untuk membantu mereka," katanya sambil menambah program berkenaan telah berjaya membantu 1,583 pelajar melanjutkan pengajian ke IPT ketika dianjurkan di Segamat, Johor baru-baru ini.

Menurut Ismail Sabri, agenda pendidikan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam membantu rakyat dan pelbagai dasar dan inisiatif telah dilaksanakan bagi mencapai tujuan itu.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyerahkan replika cek tajaan bantuan pendidikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM4 juta kepada PRIHATIN sempena JPKM peringkat wilayah selain menyampaikan RM1 juta masing-masing daripada Universiti Antarabangsa UNITAR dan Yayasan Petronas.

Disiarkan pada: March 13, 2022 @ 5:40pm
d